Trofi Piala Malaysia jadi tumpuan peminat - Utusan Malaysia

Trofi Piala Malaysia jadi tumpuan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 17 Nov. – Peminat pasukan bola sepak Perak tidak melepaskan peluang untuk bergambar serta mengamati trofi Piala Malaysia dengan lebih dekat apabila ia dipamerkan untuk tontonan umum di Mydin Meru Raya di sini selama dua hari bermula hari ini.

Peminat tegar, Akhmal Fikri Zahari, 29, berkata, dia sanggup datang dari Teluk Intan semata-mata untuk bergambar dengan piala berkenaan selepas mendapat khabar bahawa ia akan dipamerkan di sini.

“Kalau diikutkan dalam maklumat di Facebook, pemain bola juga akan turut hadir antara pukul 11 dan 12 tengah hari tetapi seorang pun tiada kerana kalau boleh, hendak bergambar juga dengan mereka.

“Waktu final tempoh hari, saya turun ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan. Hari ini, pukul 8.30 pagi saya sudah bertolak dengan rakan untuk datang ke sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi peminat, Fatimah Ahmad, 50, dari Klebang, Ipoh pula mengakui ini kali ketiga dia menyaksikan trofi Piala Malaysia secara langsung.

“Masa muda-muda dahulu memang selalu ke stadium, tetapi ini kali pertama dapat menyaksikan trofi ini secara lebih dekat.

“Kalau ikutkan, memang hendakkan pasukan Perak sentiasa menjadi antara yang terbaik kerana kita tidak pernah gagal ke suku akhir sewaktu zaman Khalid Jamlus,” katanya.

Bagi I. Selvaa, 33, pula, dia sememangnya telah mengikuti perkembangan pasukan The Bos Gaurus sejak berusia 12 tahun.

“Saya datang ke sini bersama isteri selepas mendapat tahu trofi Piala Malaysia ini akan dipamerkan di sini melalui Astro Arena serta laman web Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

“Saya jarang ke stadium tetapi jika ada siaran langsung, saya akan menyaksikannya. Saya mengagumi pemain Kenny Pallraj dan Leandro Dos Santos Oliveira, jadi saya harap Perak dapat mengekalkan kemenangan untuk musim depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN