KUANTAN 17 Nov. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia berdepan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dikatakan antara calon dipertimbangkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Mohamad berkata, beliau akan bekerja keras untuk memastikan kerusi yang disandangnya sejak 2004 itu kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN).
“Terpulang kepada mereka hendak letak siapa untuk bertanding, saya bersedia berdepan sesiapa sahaja.
“Sudah tentu saya akan memberi sepenuhnya komitmen untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bersama UMNO Pahang di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa nama Rafizi ada dibangkitkan sebagai calon PRK Dewan DUN Rantau.
Beliau berkata, siapa calon PH daripada PKR yang akan bertanding pada pilihan raya kecil terbabit masih di peringkat perbincangan dan merasakan Rafizi lebih layak daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri.
PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Tinggi Seremban, semalam memutuskan kemenangan Mohamad tanpa bertanding di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah, batal dan tidak sah. – UTUSAN ONLINE










