PASUKAN tempatan negara, ONEXOX TKKR Racing Team (TKKR) mahu terus melebarkan sayap mereka di pentas antarabangsa apabila berhasrat untuk menyertai perlumbaan saingan FIM CEV Repsol musim depan.
TKKR yang beraksi cemerlang dalam saingan Cub Prix dan ARRC musim ini terus melangkah ke pentas lebih tinggi selepas difahamkan akan bekerjasama dengan pasukan berpengalaman Eropah untuk beraksi dalam kategori kelas Moto2 di CEV.
Bagaimanapun, masalah yang dihadapi TKKR ketika ini apabila mereka tiada pelumba terbaik untuk menggalas saingan itu selepas beberapa pelumba cemerlang negara terikat dengan kontrak pasukan pengeluar dan pertembungan perlumbaan di Asia.
Justeru, TKKR masih membuat penilaian mengenai pelumba sedia ada dan masih dalam proses rundingan untuk membawa pelumba tempatan menyertai perlumbaan CEV musim 2019.
Prinsipal pasukan TKKR, Bobie Farid Shamsuddin enggan ambil pusing mengenai masalah yang dihadapi mereka dan akan bekerja keras dalam tempoh dua bulan ini untuk mencari pelumba terbaik.
“Kami merupakan pasukan baharu dan sejak kita umumkan untuk menyertai perlumbaan CEV, ramai memberi cadangan mengenai pelumba-pelumba terbaik untuk bersama kami.
“Sayangnya mereka semua sudah menjadi milik orang kerana rata-ratanya sudah mempunyai kontrak dengan pasukan mahupun pengeluar yang kini dalam persediaan perlumbaan di pentas Asia.
“Kami hormati mereka kerana kita faham pasukan pengeluar seperti Yamaha dan Honda sudah mengeluarkan modal yang besar untuk pelumba mereka. Malah, mereka sudah ada perancangan musim depan.
“Kita tidak boleh memaksa mereka untuk menyertai kami dan ia perlu melalui prosedur yang ditetapkan. Masih ada lagi tempoh kurang dua bulan untuk kami melakukan perbincangan dengan pelumba sedia ada.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana ia perlu melalui perancangan yang teliti kerana melibatkan modal besar. Jika tiada pelumba, kami akan menggunakan pelumba TKKR sendiri,” kata Farid kepada Kosmo! semalam.
Difahamkan, antara pelumba dalam radar TKKR untuk beraksi pada perlumbaan CEV musim depan ialah Azroy Hakeem Anuar, Kasma Daniel Kasmayudin, Mohd. Akid Aziz. Mohd. Hafiza Rofa, Mohd. Helmi Azman dan Afiq Azmi.
Sekiranya tiada pelumba terbaik, Bobie menjelaskan, beliau menyerahkan kepada penaja OneXox sekiranya mahu meneruskan impian tersebut kerana tarikh akhir penyertaan CEV pada bulan Januari tahun depan.
Ketika ini, pasukan Malaysia iaitu SIC menghantar pasukan mereka pada perlumbaan CEV dalam kelas Moto3 dan Moto2.










