NILAI – Tiga bekas finalis program realiti dakwah Da’i Pendakwah Nusantara antara 246 graduan menerima ijazah sarjana muda pada Majlis Konvokesyen ke-16 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.
Mereka ialah Juara dan Naib Juara Da’i Pendakwah Nusantara 2015 masing-masing Hamidah Ab. Razak dan Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar, 23, serta naib juara bagi tahun 2017, Nur Afiqah Mahmud, 23.
Hamidah menerima Ijazah Sarjana Muda Pengkajian Akidah dan Agama, Ahmad Fuad menerima Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, manakala Nur Afiqah menerima Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.
Turut berlangsung pada majlis itu penganugerahan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah kepada seramai 235 graduan serta pemasyhuran Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi sebagai Pro-Canselor USIM.
Majlis konvokesyen itu disempurnakan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang merupakan Canselor universiti berkenaan.









