KUALA LUMPUR 19 Nov. – Segala usaha berkaitan memulihkan pengurusan kewangan dan perladangan Felda akan dilakukan berdasarkan kertas putih yang akan dibentangkan di Parlimen, bulan depan.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, atas sebab itu, tiada sebarang perancangan dibuat oleh kerajaan untuk menggabungkan Felda dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
“Kita akan mendapatkan maklumat secara terperinci terlebih dahulu mengenai kedudukan sebenar Felda seterusnya dibentangkan dalam kertas putih di Parlimen, Disember ini.
“Sebarang tindakan hanya akan diambil sewajarnya berdasarkan kertas putih itu, jadi tidak ada perancangan bergabung dengan Felcra,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen enggan mengulas mengenai cadangan untuk menggabungkan dua agensi tersebut.
Menurut laporan daripada sebuah akhbar kewangan mingguan, The Edge, kerajaan akan membentangkan kertas putih mengenai Felda di Parlimen yang dijangka mengandungi cadangan untuk memulihkan pengurusan kewangan dan tadbir urus agensi itu.
Salah satu daripada cadangan itu adalah kemungkinan penggabungan dengan Felcra. – UTUSAN ONLINE.











