DUNGUN 27 Nov. – Tangisan anak kecil dalam dukungan bapanya, sambil memangil ibunya yang kaku berlumuran darah dalam ambulan menyelubungi suasana nahas di kilometer 336.3 , Lebuh Raya Pantai Timur 2 ( LPT 2 ) , berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R ), Paka , di sini, petang semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.50 petang itu, Siti Husna Che Mat , 38 , meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala manakala suaminya , Mohd Kaswady Yusuf, 36, dan bayi perempuan mereka , Khaliqah Qasdina Mohd Kaswady,3, terselamat.
Ketika kejadian, mereka bertiga dalam perjalanan pulang bercuti dari Johor Baharu menuju ke Kuala Terengganu dan setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohd Kaswady hilang kawalan akibat melanggar lopak air.
Kenderaan tersebut berpusing lali melanggar besi pembahagi jalan, dan kejadian tersebut turut disaksikan oleh seorang pengguna lebuh raya , Mat Zain Sulaiman, 60 , yang dalam perjalanan bersama isterinya dari arah Melaka menuju ke Kuala Terengganu.
Menurut Mat Zain, ketika kejadian dia berada kira – kira 400 meter di belakang kereta tersebut dan tiba – tiba dia melihat kereta tersebut berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.
” Ketika kejadian hujan lebat dan saya lihat kereta itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan dan dalam masa yang sama saya lihat mangsa tercampak keluar dari tempat duduk penumpang kereta.
“Saya terus memberhentikan kereta,dan terus membawa keluar bayi dan pemandu kereta ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sepasukan anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Sementara itu , Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.- UTUSAN ONLINE










