NILAI – Seorang pekerja kilang terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit apabila jari telunjuknya tersepit dalam mesin pengisar ketika memproses bahan acuan di tempat kerjanya di Nilai 7 di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Nor Farah Akila Mohd. Nasir, 18, menjerit kesakitan dan menangis teresak-esak akibat kecederaan tersebut.
Bagaimanapun, rakan sekerja yang berada di sebelah mangsa segera menghubungi talian kecemasan 999 selain cuba menenangkan gadis itu.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Penguasa Bomba Kanan, Baharin Ayob berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 malam.
“Anggota mengambil masa kurang 20 minit untuk mengeluarkan jari telunjuk mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat khas.
“Mangsa diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan ambulans Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini. – K! ONLINE










