Subsidi RM5 juta untuk kekal tambang pas Putrajaya - Utusan Malaysia

Subsidi RM5 juta untuk kekal tambang pas Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Nov.- Subsidi berjumlah RM5 juta diperuntukkan kerajaan kepada syarikat perkhidmatan bas, Nadi Putra pada setiap tahun agar tambang bas di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kekal pada harga 50 sen.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, peruntukan sama juga disalurkan pada tahun depan kerana kerajaan tidak mahu tambang dinaikkan dan sekali gus ingin menggalakkan para penduduk menggunakan bas sebagai pengangkutan utama untuk ke tempat kerja atau destinasi lain.

Menurutnya lagi, beliau sendiri telah mengadakan perjumpaan bersama pihak pengurusan Nadi Putra sebanyak tiga kali bagi mengetahui lebih lanjut berhubung operasi bas di sini.

“Walaupun mereka memaklumkan berhadapan masalah kos dan memerlukan kira-kira RM12 juta setahun, saya meminta syarikat melakukan penyelenggaraan bas bagi mengurangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk menampung kerosakan.

“Selain itu, kita akan meletakkan orang kementerian di Nadi Putra untuk memantau peruntukan itu agar ia tidak digunakan untuk tempat tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Putrajaya di Presint 9, di sini hari ini.

Sementara itu, Khalid memaklumkan, peratusan kes denggi di Putrajaya bagi tahun ini telah berkurangan sebanyak 38 peratus menerusi statistik 327 kes berbanding 526 pada 2017.

Katanya, perkara itu disebabkan kerjasama dimainkan pelbagai pihak termasuk komuniti yang memfokuskan untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Walaupun ia menurun, namun kita tidak boleh menarik nafas lega kerana statistik demam denggi tetap ada, sehubungan itu, kita perlu menyasarkan sifar kes pada tahun depan.

“Untuk menjadi negara maju bukan sekadar aspek ekonomi dan pendapatan rakyat, tetapi perlu dilihat daripada sikap menjaga kebersihan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN