Siti Nurhaliza bantu kanak-kanak pesakit jantung - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza bantu kanak-kanak pesakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SimplySiti Di Hati 2018 dengan kerjasama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

Siti, 39, berkata, kempen yang bakal dijalankan pada bulan depan itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu tiga kanak-kanak penghidap sakit jantung iaitu Lam Zhe Yi, 10 bulan, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, dan Mahaani A/P Thayalan, 7, yang memerlukan biaya pembedahan yang  dianggarkan sebanyak RM105,000.

“Dana akan dikumpulkan menerusi penjualan rangkaian produk Simplysiti. Sebanyak RM5 akan dimasukkan ke dalam tabung Yayasan IJN menerusi setiap pembelian melebihi RM100.

“Bagi menjayakan kempen ini, saya juga turun padang ke cawangan butik Creacion X SimplySiti dan Watsons terpilih pada 1, 2 dan 8 Disember depan bagi megajak orang ramai bersama-sama menyertai kempen ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut di ibu kota sebentar tadi.

Tambah penyanyi Anta Permana itu, kempen yang dilancarkan sejak 2011 tersebut telah berjaya mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan 11 kanak-kanak pesakit jantung yang kurang berkemampuan.

“Dalam mengharungi hidup ini ada suka dan duka. Rezeki dimiliki tidak salah jika kita berkongsi sedikit untuk golongan memerlukan ini.

“Sebagai ibu, saya gembira apabila dapat membantu kanak-kanak ini. Apatah lagi, anak kita adalah generasi masa depan bukan saja untuk keluarga tetapi juga agama, bangsa dan negara. Saya mendoakan proses ini berjalan lancar dan kesemua kanak-kanak yang bakal menjalani pembedahan diberikan kesembuhan,” katanya lagi.

Mengenai pembabitan Siti menerusi sesi ramah mesra, pada 1 Disember ini beliau akan berada di Creacion Johor Bahru pada pukul 12 tengah hari dan Watsons Batu Pahat pada 4.30 petang.

Pada 2 Disember pula, Siti akan berada di Watsons IOI City Mall, pukul 12.30 tengah hari dan Watsons Sogo pukul 4 petang.

Sementara itu, pada 8 Disember, Siti akan bertemu peminat di Watsons SACC, Shah Alam, pada pukul 1 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN