TELUK INTAN 25 Nov. – Sebuah ladang kelapa sawit milik bumiputera, Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Berhad (Moccis) di Changkat Jong menjadi tarikan kepada pengunjung yang mahu bercuti bersama keluarga di sini.
Terletak di Kilometer 24, Jalan Changkat Jong, ladang seluas 1,268 hektar itu turut dibangunkan inap desa dan zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis haiwan antaranya rusa; kucing bengal; pelbagai jenis ikan dan burung; arnab; angsa dan ayam.
Aktiviti utama ladang itu ialah penjualan kelapa sawit dan tapak semaian yang telah dimulakan pada 1999 dengan keluasan 3.24 hektar dan pengeluaran maksimum setahun 35,000 anak benih sawit.
Eksekutif Ladang MOCCIS dan inap desa, Mohammad Hadzrin Harun berkata, selain hasil ladang, pihaknya juga memberi fokus perniagaan inap desa dengan tawaran penginapan selesa selain melawat zoo mini.
Menurutnya, ini menjadikan percutian sesebuah keluarga begitu menyeronokkan dalam suasana menyegarkan.
“Inap desa itu terletak di tepi tasik, sesuai untuk penginapan keluarga dan mereka yang minat memancing.
“Zoo mini adalah tarikan utama di inap desa ini kerana pengunjung dapat melihat haiwan lebih dekat menjadikan percutian di sini menyeronokkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, Inap Desa Moccis semakin dikenali khususnya dalam kalangan pengunjung dari Lembah Klang dan utara tanah air yang memilih menginap di sini jika bercuti atau mempunyai urusan di kawasan Hilir Perak.
Mohammad Hadzrin berkata, percutian itu menjanjikan satu suasana santai bersama keluarga kerana terletak jauh daripada kesibukan kota.
“Percutian di sini dapat menenangkan fikiran dan menghilangkan penat bekerja selain menikmati keindahan alam semula jadi serta melihat haiwan dengan lebih dekat,” katanya.
Jelasnya, di ladang Moccis juga terdapat ternakan lembu secara integrasi dan projek itu dimulakan pada 2013.
“Setakat ini sebanyak 500 ekor lembu diternak dan permintaan meningkat dalam kalangan masyarakat di sini untuk akikah dan korban pada Hari Raya Aidiladha,” katanya.











