SEPANG – Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri S.A Vigneswaran diminta memohon maaf secara terbuka ekoran tindakannya melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, dalam kejadian pada pukul 10.20 malam itu, Vigneswaran juga didakwa menceroboh ruang keselamatan dengan melalui kawasan laluan orang kenamaan (VIP) tanpa menjalani prosedur pemeriksaan badan yang ditetapkan pihak Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB).
“Kejadian itu dirakam melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) KLIA. Terbukti dalam rakaman itu beliau tidak mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan pihak keselamatan.
“Soal memakai selipar masih boleh dimaafkan, namun sikap tidak profesional yang ditunjukkan pemimpin itu seharusnya tidak dimaafkan walaupun beliau bertaraf golongan kenamaan,”katanya pada sidang akhbar di KLIA di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anthony yang memandang serius insiden itu berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan lengkap insiden itu kepada Jabatan Perdana Menteri kerana laluan orang kenaamaan itu diletakkan dibawah Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa pada Isnin depan untuk tindakan lanjut.
“Sebarang keputusan terhadap kejadian tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Anthony sebelum ini, mengumumkan prosedur pemeriksaan yang lebih ketat termasuk pemeriksaan oleh Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen akan dilaksanakan di laluan orang kenamaan di semua lapangan terbang bagi memastikan laluan berkenaan tidak disalahgunakan.
Dalam pada itu, rakaman tersebut menunjukkan Vigneswaran ketika mahu melalui laluan orang kenamaan memakai selipar enggan menunggu pegawai keselamatan lelaki tiba untuk membuat pemeriksaan badan.
Sebaliknya beliau terus memasuki lif setelah dihalang masuk laluan orang kenamaan oleh seorang pegawai keselamatan wanita yang sedang melakukan pemeriksaan.
Beliau kemudian terus menuju ke kaunter khidmat pelanggan dan mempersoalkan kesalahan dilakukan dihadapan seorang pegawai wanita bagi laluan orang kenamaan. Difahamkan, beliau turut meninggikan suara kepada wanita tersebut.
Tambah Anthony, pada hari kejadian, pegawai bertugas tidak mahu mengambil tindakan keatas orang kenamaan berkenaan kerana tidak mahu mencetuskan kekecohan namun perkara itu telah dilaporkan kepadanya.
“Ini bukan soal politik, tetapi ini soal aspek keselamatan di lapangan terbang.
“Kesalahan yang dilakukan itu termaktub dibawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (Akta 298) yang membolehkan seseorang individu yang tidak mematuhi arahan keselamatan dibawa keluar dari kawasan lapangan terbang,” katanya. K! – ONLINE










