PERKAHWINAN yang dibina 13 tahun dahulu cukup menjadikan pasangan bahagia, Datuk Fazley Yaakob dan Datin Azrene Soraya matang dalam menempuh setiap cabaran.
Tidak usah lagi kita buka cerita lama kerana rasanya ramai yang tahu laman memori pahit yang perlu ditempuhi pasangan merpati dua sejoli ini.
Cuma satu pinta mereka, lupuskan kenangan itu dan hadirkan hanya indah-indah sahaja untuk dikenang serta melangkah terus menempuh kehidupan.
Bersanding sekali lagi atas pelaminan indah bertemakan taman pada malam kelmarin, kedua-dua mempelai tampak cukup bahagia. Senyuman manis tak lekang diukir.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa perlu ada persandingan kedua? Apakah tidak cukup majlis perkahwinan yang berlangsung 13 tahun dahulu sementelah mereka bahagia menjalani kehidupan berumah tangga.
Bukan sekadar mahu memberikan kenangan indah kepada isteri tersayang dan keluarga yang dikasihi, majlis yang berlangsung itu sebenarnya lebih kepada menyempurnakan amanat terakhir arwah bapa Fazley, Datuk Yaakob Mohammad yang menghembuskan nafas terakhir dua tahun lepas.
“Masih kuat dalam ingatan saya, seminggu sebelum arwah ayah meninggal dunia, dia pegang tangan saya dan isteri dan berpesan, bila masa mengizinkan, bersandinglah semula.
“Saya pilih tarikh ini sempena ulang tahun ke-40 saya. Semoga malam ini memberi kenangan dan memori indah untuk setiap daripada kita. Tutup tirai cerita yang berlaku 13 tahun lalu dan mulakan hidup yang lebih bahagia.
“Alhamdulillah, saya lega. Pagi sebelum majlis, kami ziarah kubur arwah dan bagi tahu hajatnya sudah dilaksana. Hati saya tenang,” kata cef selebriti dan penyanyi popular ini.
Diusik soalan, tidakkah dia dan isteri gementar untuk kembali duduk di pelaminan, seraya memandang manja isterinya, Fazley mengakui, dia sangat gugup dan berdebar untuk bersanding semula.
Bukan tidak pernah bersanding sebelum ini, namun jelas Fzaley, memori 13 tahun dahulu seakan-akan sudah terpadam dalam mindanya dan dia mahu kembali menyuntik memori indah baharu dalam benak dirinya dan isteri.
“Macam kali pertama naik pelamin. Sejujur, saya tak ingat apa yang berlaku 13 tahun lepas. Mungkin kerana kami semua terlalu tertekan dengan keadaan ketika itu sehingga memori itu terpadam.
“Malam ini kita mahu meraikan rakan media dan kawan-kawan baik saya yang selama ini memberi sokongan kepada saya. Saya mahu beri yang terbaik untuk isteri dan anak-anak,” katanya sambil menghadiahkan senyuman.
Ucapan undang sebak
Pada majlis yang penuh rasa cinta itu, hadirin terpaku sebentar apabila Fazley menayangkan video ucapan arwah ayahnya ketika majlis persandingan mereka 13 tahun lepas sehingga mengundang sebak para tetamu yang hadir.
Derita yang ditanggung akhirnya terlerai. Senyuman yang terukir tanda cinta utuh antara dua mempelai. Mereka sepakat mahu menutup kisah lama dan buka buku baharu dengan warna-warna cinta yang lebih indah.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan tiga anak lelaki Fazley – Fariedz, Fieradz dan Fierudz.
Menariknya, Fazley mendedahkan program majlis tersebut merupakan idea ketiga-tiga puteranya yang mahukan majlis persandingan disertakan dengan paluan kompang dan persembahan yang menghiburkan.
“Mereka sangat teruja apabila tahu kami akan bersanding semula. Dulu mereka selalu bertanya, mengapa dalam gambar perkahwinan dahulu, mereka tidak ada. Jadi, persembahan semua adalah idea mereka,” katanya.
Soalan kemudian terarah kepada Azrene pula. Mengakui gementar, wanita besi itu mengakui, dia seorang yang cukup perahsia dan tidak gemar berdiri di hadapan lensa kamera sama sekali.
Namun termakan pujukan suami tercinta dan ahli keluarga, dia bulatkan semangat menolak perasaan gementarnya dan tampil sebagai raja sehari di atas pelaminan memakai busana indah nuansa putih yang polos.
“Mula-mula suami melamar saya untuk bersanding semula pada 7 November lepas, saya jawab kita sudah tua. Tapi setelah dipujuk, saya setuju. Saya gugup bila ada lebih 250 orang pandang saya,” selorohnya.
Pasangan sama cantik sama padan ini bernikah pada 7 November 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz Shah yang lebih mesra disapa Payish, 10; Ahmad Fieradz Shah (Piyash), 9; Ahmad Firudz Shah (Piyush), 7; dan Alayna Selma , 1.










