KUALA LUMPUR 28 Nov. – UKM FC tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan kelab tersebut untuk menangguhkan pengesahan penyertaan mereka.
Ketua Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata keputusan tersebut dibuat selepas Lembaga Pengarah MFL mendapati rayuan UKM FC tidak mengemukakan maklumat baharu mengenai permohonan penangguhan selain daripada yang telah dikemukakan.
“Setiap pasukan harus mengambil serius tentang tarikh akhir yang telah ditetapkan untuk setiap perkara. Mentaliti mengambil mudah perkara sebegini harus dihentikan. Industri bola sepak tempatan tidak boleh menunggu setiap kali sesuatu perlu dibuat.
“Kejayaan industri ini adalah penting untuk kemajuan bola sepak negara dan semua yang terlibat perlu sedar bahawa perbuatan mereka tidak hanya melibatkan mereka sahaja. Ia melibatkan semua yang terlibat dalam industri ini dan membawa kesan yang jauh lebih mendalam dari yang mereka sangka,” kata Kevin dalam satu kenyataan di sini semalam.
Itu bermakna masih ada empat slot kekosongan dalam saingan Liga Perdana musim 2019 dan MFL masih menunggu pengesahan secara rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencadangkan empat pasukan daripada Piala FAM. – UTUSAN ONLINE










