SEREMBAN 28 Nov. – Suasana hening melanda Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini apabila dua waris graduan menerima ijazah bagi anak masing-masing yang telah meninggal dunia dalam Majlis Konvokesyen Ke-16 universiti itu hari ini.
Dua graduan yang menamatkan pengajian dan menerima ijazah secara anumerta itu ialah Allahyarham Sahadah Ajik yang menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, manakala Allahyarham Nurnadiana Ramlee pula mendapat ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko.
Sahadah yang menghidap penyakit kronik iaitu kegagalan buah pinggang tahap akhir meninggal dunia pada 10 Februari tahun ini pada minggu pertama menjalani latihan industri.
Nurnadiana meninggal dunia kerana jangkitan virus yang kronik pada kulit dan organ dalaman semasa menjalani latihan industri pada 9 April tahun ini.
Ijazah disampaikan oleh Pro-Canselor USIM, Tun Zaki Azmi kepada bapa, Sahadah, Ajik Sanim dan ibu Nurnadiana, Rozanah Abd. Rajab yang masing-masing sebak ketika menerima ijazah tersebut.
Yang turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad. – UTUSAN ONLINE










