KUALA LUMPUR 26 Nov. – Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyemak semula garis panduan Dana Dagangan Bursa (ETF) bagi membolehkan lebih banyak penerbitan ETF yang pelbagai dalam pasaran.
Garis Panduan yang telah disemak akan berkuat kuasa pada 2 Januari 2019.
SC dalam kenyataannya berkata, ia termasuk ETF berasaskan niaga hadapan, ETF sintetik, ETF komoditi fizikal dan ETF beta pintar.
Menurutnya, pengenalan pelbagai ETF bertujuan menggalakkan pertumbuhan kompetitif dan memudahcarakan inovasi produk dalam pasaran, menyediakan peluang pelaburan baharu dan memberi pendedahan kepada para pelabur dengan selera risiko yang berbeza.
“Peningkatan ini seiring dengan perkembangan di peringkat global yang mana pasaran ETF Asia dijangka menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan dalam aset sebanyak 18 peratus menjelang 2021.
“Malaysia ketika ini mempunyai 10 ETF tersenarai dengan jumlah permodalan pasaran yang digabungkan kira-kira RM2.03 bilion setakat Oktober 2018,” katanya di sini hari ini.
Tambah SC, ETF berasaskan niaga hadapan seperti ETF Leveraged & Inverse (L&I) akan membawa kepada saluran yang lebih telus dan kos efektif kepada para pelabur untuk mengakses pasaran niaga hadapan tradisional yang sofistikated.
Katanya, ETF Leveraged yang menggunakan kontrak niaga hadapan untuk menyediakan indeks pulangan harian berganda manakala ETF Inverse membolehkan pelabur memperoleh keuntungan daripada pasaran yang menurun.
“Oleh kerana kerumitan ETF L&I bakal pelabur runcit mesti memenuhi kriteria prakelayakan tertentu sebelum mereka boleh melabur dalam produk ini.
“Pelabur runcit kali pertama mesti menjalani modul e-pembelajaran yang dibangunkan oleh Bursa Malaysia dan simulator prestasi yang disediakan oleh syarikat pengurusan sebelum mereka boleh melabur dalam ETF L&I,” jelasnya.










