'Saya 60, Tok Mat 40' - Utusan Malaysia

‘Saya 60, Tok Mat 40’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 25 Nov. – Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram yakin mempunyai kelebihan untuk mengatasi Datuk Seri Mohamad Hasan jika dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pakar bius itu berkata, walaupun menganggap beliau calon ‘underdog’, hasil maklum balas menunjukkan beliau mendapat sokongan daripada masyarakat berbilang kaum di kawasan ber­kenaan.

Ujarnya, pengundi Melayu di beberapa kawasan di DUN Rantau seperti Kuala Sawah, Nyatoh dan pekan Saga turut memberi undi yang besar kepada calon PKR bagi kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya fikir (peluang saya) 60 peratus dan 40 peratus untuk dia (Mohamad).

“Saya sudah lawan dia semasa PRU-14, masa itu dia ada kuasa sebagai Menteri Besar. Jadi, saya rasa tak susah untuk lawan dia sebagai Timbalan Presiden UMNO pula,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mahkamah Khas Pi­lihan Raya di Seremban baru-baru ini mengisytiharkan kemena­ngan tanpa bertanding Mohamad di kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah, sekali gus PRK perlu diadakan serta-merta.

Rantau merupakan salah satu daripada empat DUN yang terletak di bawah Parlimen Rembau.

Sementara itu, Streram menafikan dakwaan bahawa beliau tidak mendapat sokongan daripada PKR Cabang Rembau untuk dicalonkan kerana bukan anak tempatan.

“Maklumat itu salah, saya sendiri berada dalam mesyuarat PKR Cabang Rembau dan tahu apa yang dibincangkan. Kita bersetuju tiada isu calon anak tempatan selain menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon.

“Saya akan tetap beri soko­ngan, ini bukan tentang individu. Sekiranya tidak dicalonkan, saya akan bekerja dan terima calon yang diumumkan oleh PKR dan Pakatan Harapan walaupun ia tidak adil kepada saya,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua PKR cabang tersebut, R. Tanggam mendakwa, ahli-ahli cabang itu tidak mahu calon luar dipilih dan menyifatkan Streram yang berasal dari Johor sebagai calon ‘payung terjun’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×