SEPANG 1 Nov. – Menamatkan persaingan dalam kelompok 10 terbaik menjadi sasaran pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah untuk baki dua perlumbaan musim ini, dalam usahanya mengejar kedudukan Franco Morbidelli yang kini mendahului senarai pendatang baharu terbaik dengan 46 mata.
Penunggang Monster Yamaha Tech 3 itu berada 12 mata di belakang pesaingnya dari Itali itu setelah mengumpul 34 mata keseluruhan.
Hafizh berkata, sejak di Aragon, Sepanyol lagi jentera Yamaha yang dipacunya mula mempamerkan prestasi yang diharapkan dan nyata membantu pencapaiannya dalam perlumbaan.
“Walau bagaimanapun, saya gagal melengkapkan perlumbaan di Phillip Island Ahad lalu, menyebabkan gagal untuk menambah mata.
“Sebaliknya Morbidelli berjaya mengutip lapan mata dalam perlumbaan di Australia itu, jadi untuk memastikan peluang masih ada saya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 terbaik dalam baki dua pusingan di Malaysia dan Valencia,” katanya.
Hafizh berkata demikian dalam sidang akhbar menjelang Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Menurut pelumba berusia 24 tahun itu, Phillip Island bukanlah trek kegemarannya dan dia tidak memiliki rekod yang baik setiap kali beraksi di Australia.
Jelas Hafizh, dia sememangnya tidak memiliki keyakinan berlumba di Phillip Island, tetapi mekanik pasukan memberikan keyakinan kepadanya bahawa menunggang jentera MotoGP dan Moto2 adalah sesuatu yang berbeza.
“Ternyata pandangan mekanik pasukan itu betul apabila saya berjaya menempah petak ke-10 dalam kelayakan dan berada di kedudukan kelapan terbaik sebelum terjatuh,” ujarnya.
Hafizh memberitahu, dia tidak boleh lagi melakukan sebarang kesilapan selepas ini, dan berlumba di tanah air sendiri hujung minggu ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menghidupkan kembali peluangnya memburu anugerah pendatang baharu terbaik.











