LANGKAWI – Atlet kelahiran Ukraine, Daniil Sapunov berjaya mengungguli Ironman Malaysia Langkawi kategori lelaki profesional edisi 2018 selepas kali petama menyertainya sekali gus melakar sejarah memperlihatkan muka baharu tahun ini.
Jaguh berusia 36 tahun tersebut menamatkan saingan dengan catatan masa 8 jam 33 minit 35 saat (s) seterusnya berjaya mengatasi juara tahun lalu, Romain Guillaume dari Perancis.
Bagaimanapun Sapunov gagal mencatat rekod terbaharu tahun ini selepas Guillaume berjaya mencatatkan masa 8:32:53s bagi edisi 2017.
Sapunov mengakui ia merupakan kejayaan paling bermakna dalam hidupnya ekoran ia adalah kali pertama beliau menyertai Ironman Malaysia Langkawi.
“Memang sukar dipercayai apabila menang selepas kali pertama menyertai Ironman di venue ini (Langkawi).
“Venue ini agak mencabar ekoran laluannya yang berbukit dan di bawah panas terik namun saya dapat menyempurnakannya dengan baik.
“Saya sebelum ini tidak melakukan sebarang persediaan dan terus ke sini untuk menyertai Ironman dan keputusan ini memang sukar dipercayai,“ katanya selepas menamatkan saingan di Hotel Meritus Pelangi, Langkawi sebentar tadi. – K! ONLINE










