Sakit tak halang Asyraf Ridwan genggam ijazah doktor falsafah - Utusan Malaysia

Sakit tak halang Asyraf Ridwan genggam ijazah doktor falsafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Sakit tulang belakang dan saraf yang dihidapi seorang pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit di sini sama sekali tidak menghalangnya untuk menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Asyraf Ridwan Ali, 44, mengambil masa lebih enam tahun untuk menghabiskan tesis PhD dan dalam masa yang sama bertarung dengan penyakit diffuse idiopathic skeletal hyperostosis sejak tahun 2015.

Berbekalkan ketabahan dan kesabaran yang tinggi, pensyarah itu akhirnya berjaya menamatkan pengajian di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dan menerima PhD pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-10 di sini hari ini.

“Saya berjaya merealisasikan impian arwah kedua ibu bapa yang ingin melihat anak-anaknya menghabiskan pengajian di peringkat tertinggi.

“Saya akui memang sukar untuk menghabiskan tesis sejak diuji dengan penyakit ini selain pergerakan yang agak terbatas dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sidang pertama majlis Konvokesyen UniSZA Ke-10 hari ini.

Asyraf Ridwan menerima PhD berkenaan yang disampaikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Kuala Terengganu itu turut menceritakan detik-detik sukar buat dirinya sepanjang proses menghabiskan penulisan tesis.

“Saya menjalani pembedahan tulang belakang pada bulan April tahun lalu. Selepas itu saya mengambil masa lebih tiga bulan untuk bangkit semula dan mencari semangat baharu bagi menghabiskan tesis.

“Bukan mudah perjalanan yang diharungi kerana saya perlu membahagikan masa antara komitmen kerja, rawatan di hospital serta pengajian,” ujarnya.

Seramai 2,836 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut yang berlangsung hari ini sehingga Isnin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN