KUALA LUMPUR 26 Nov. – Selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT), bekas ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim dijangka kembali menyertai pasukan lamanya, Selangor bagi mengharungi musim 2019.
Menurut satu entri di laman Instagram penyokong Selangor, officialssde, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sedang mengadakan rundingan bagi mendapatkan khidmat pakar sepakan bebas itu bagi memperkuatkan semula pasukan Red Giants.
Bagaimanapun, Safiq ketika dihibungi Utusan Malaysia enggan mengulas mengenai perkara itu kerana tiada sebarang keputusan rasmi mengenainya.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh komen apa-apa, belum ada apa-apa keputusan, tunggu seminggu dua lagi,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, dia tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara itu kerana jurulatih, B. Satianathan diberi tanggungjawab penuh mengenai urusan pemain.
“Secara peribadi memang saya tidak ada kaitan atau mengetahui mengenai perkara ini kerana semua ini terpulang kepada jurulatih.
“Kami memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk mendapatkan pemain yang dikehendakinya mengikut bajet yang ditetapkan tetapi mengenai hal ini (Safiq kembali menyertai Selangor), memang saya tidak tahu,” katanya.
Perancang berusia 31 tahun itu meninggalkan juara Liga Super lima kali itu selepas banyak memanaskan bangku simpanan dalam kempen musim ini dengan Benjamin Mora memilih tenaga muda Nazmi Faiz Mansur untuk mencatur permainan dari bahagian tengah.
Bekas pemain Selangor itu adalah antara barisan pemain generasi pertama dalam pasukan JDT yang diberi wajah baharu oleh pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013.










