Nadia Brian kesal isu ‘This Is Malaysia’, gesa sensitiviti Rukun Negara dihormati - Utusan Malaysia

Nadia Brian kesal isu ‘This Is Malaysia’, gesa sensitiviti Rukun Negara dihormati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian meluahkan rasa sedih dan kesal susulan penularan semula video pementasan teater This Is Malaysia yang didakwa mempersenda Rukun Negara, selain menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

Menurut Nadia, biarpun rakaman berkenaan dikatakan merupakan pementasan yang sudah lama dipentaskan, kandungannya tetap memberi kesan kepadanya sebagai rakyat Malaysia.

“Walaupun video itu dikatakan sudah lama, saya sangat sedih melihat video itu. Ini seperti satu perkara yang mustahil, kita sebagai rakyat Malaysia dipermainkan sebegini.

“Ya kita mahu berseni, tetapi di Malaysia khususnya, kita ada undang-undang kita sendiri. Apabila ada pihak mempermainkan sistem beraja, Perlembagaan, adalah mereka tidak fikir bahawa untuk mendapatkan semua itu pun bukannya berlaku sekelip mata.

“Pelbagai peristiwa yang berlaku, pertumpahan darah, air mata dan keringat orang-orang terdahulu untuk perjuangan-perjuangan mereka. Kita hanya buat untuk suka-suka, untuk perkara yang tidak berfaedah.

“Walaupun ia sudah lama, ia tetap menjadi satu perkara yang sangat memberi kesan kepada saya sebagai rakyat Malaysia. Saya rasa itu agak tidak boleh diterima,” katanya.

Nadia berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Karok Dapur di ibu negara, semalam.

Pada masa yang sama, Nadia berkata, kontroversi berkenaan seharusnya dijadikan pengajaran agar garis panduan yang lebih jelas diberi perhatian.

Kata Nadia, ia terutama apabila sesuatu karya menyentuh perkara yang dianggap mempunyai nilai sensitiviti kepada rakyat dan negara.

“Perkara ini patut dijadikan satu pengajaran untuk kita, iaitu kita kena ada garis panduan. Bila dipermainkan sistem beraja atau  mana perkara-perkara yang seperti ini, bagi saya iaharus dihentikan.

“Apa yang terjadi itu kita tengok seolah-olah mereka sedang mengejek. Ya, mengejek sistem perlembagaan negara kita sendiri, negara kita. Kita lahir di negara ini, kita sepatutnya sayang negara kita.

“Jadi, saya harap perkara ini tidak berlaku lagi. Ia harus diambil serius,” katanya.

Isu berkenaan tercetus selepas rakaman pementasan This Is Malaysia kembali tular di media sosial.

Rakaman sekitar 10 minit itu memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselang-seli dengan dialog dan kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Pementasan berkenaan dipercayai merupakan rakaman persembahan yang pernah dipentaskan pada 2018 sebelum dimuat naik semula sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

Susulan penularan rakaman itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dilaporkan mengambil alih siasatan.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) turut menggesa siasatan menyeluruh dilakukan dengan mengambil kira konteks sebenar pementasan, pihak yang terlibat serta sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×