SHAH ALAM: Rakyat tidak seharusnya terheret dengan krisis yang berlaku melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan sehingga ia dibawa ke dalam perdebatan umum dan mencetuskan polemik.
Sebaliknya, ia seharusnya diuruskan dengan berhati-hati dan tertib oleh pihak berkaitan supaya imej institusi diraja tidak dipandang rendah dan Yang di-Pertuan Besar yang masih bertakhta dihormati.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, polemik yang berlaku dilihat menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan rakyat apabila wujud kumpulan penyokong pihak tertentu.
“Oleh demikian, saya menyeru rakyat supaya tidak terheret dengan pertelingkahan yang dicetuskan oleh pimpinan politik atau penyokong sehingga dilihat hilang rasa hormat terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
“Krisis dan pertikaian yang berlaku itu seeloknya diserahkan kepada pihak dan institusi yang bertanggungjawab untuk diselesaikan dengan berhikmah serta berhati-hati, bak kata pepatah menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
“Usah diheret pertikaian yang berlaku itu ke dalam perdebatan umum kerana takut nanti yang menang sorak, tetapi kampungnya tergadai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan dipercayai bagi membincangkan isu berkaitan takhta negeri itu.
Pertemuan itu berlangsung susulan perkembangan terbaharu membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Wan Dzahanurin yang juga ADUN Sungai Kandis itu menyeru supaya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dihormati kedudukannya selagi mana tiada perubahan disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Perkembangan yang berlaku itu menuntut penyelesaian yang berhati-hati tanpa mengenepikan individu atau pihak yang terkait.
“Dalam konteks itu pastilah undang yang empat dan pembesar lain, penjaga-penjaga adat seperti DKU yang perlu didukung oleh pentadbiran eksekutif iaitu kerajaan negeri serta undang-undang iaitu peguam dan institusi kehakiman,” ujarnya.
Tegasnya, sebarang perbezaan tafsiran undang-undang wajar diselesaikan melalui saluran yang betul, bukan melalui kenyataan media yang mengelirukan rakyat sehingga menimbulkan polemik mengganggu kestabilan. – UTUSAN











