SIAPAKAH Exco kerajaan negeri yang dikatakan mahu menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti didakwa oleh UMNO?
Itu persoalan yang hangat diperkatakan selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad semalam membuat pendedahan bahawa satu gerakan yang serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Secara kebetulan, hari ini akan bermula sesi Persidangan DUN yang bakal menyaksikan

pembentangan Bajet 2019 Perak.
Beberapa Exco kerajaan negeri telah tampil semalam membuat penafian wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.
Antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr. Abdul Aziz Bari; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How.
Malah Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri, Steven Chaw juga mengesahkan kesemua lima Exco kerajaan negeri daripada DAP berikrar menyokong Menteri Besar.
“Saya telah menghubungi kelima-lima Exco berkenaan dan saya menegaskan bahawa mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada Menteri Besar,” kata Steven Chaw.
Ekoran dakwaan Saarani itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan negeri hari ini mencabar beliau supaya tampil mendedahkan siapakan Exco yang dimaksudkan.
Antara yang mencabar Saarani supaya berbuat demikian ialah Ketua Pemuda Pakatan Harapan Perak, Hasnul Zulkarnain dan Ketua Penerangan PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail.
Bagi meleraikan teka-teki siapa Exco dimaksudkan oleh Saarani, adalah wajar nama Exco yang berkenaan didedahkan.
Ditanya mengenai perkara itu, Saarani berkata, beliau sedia mendedahkan nama Exco yang berkenaan namun bersyarat.
“Suruh Amanah Perak tanya semua Exco sama ada mereka setuju tak untuk saya dedahkan namanya. Kalau semua 10 Exco setuju, saya akan dedahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp.










