Rusuhan kuil: Suasana tidak terkawal memaksa anggota bomba berundur - Utusan Malaysia

Rusuhan kuil: Suasana tidak terkawal memaksa anggota bomba berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA – Kekecohan di luar kawalan yang ditimbulkan oleh sekumpulan perusuh memaksa anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berundur serta membatalkan operasi pemadaman sebuah kereta yang terbakar di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman di sini awal pagi tadi.

Dalam kekecohan tersebut, seorang anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya turut cedera parah akibat dipukul oleh sekumpulan perusuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, sewaktu kejadian, anggota bomba ke lokasi tersebut setelah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran sebuah kereta sekitar pukul 1 pagi tadi.

“Sebuah jentera pemadam api dengan tujuh anggota berserta sebuah jentera EMRS dengan dua anggota telah dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua jentera tersebut telah dikerumuni oleh sekumpulan perusuh yang turut membaling batu dan cuba mencederakan anggota bertugas,” katanya pada satu sidang media di Pusat Perubatan SubangJaya di sini.

Menurut Mohamad Hamdan, setelah mendapati keadaan semakin tidak terkawal, komander operasi telah mengarahkan agar kedua-dua jentera tersebut berundur.

“Sewaktu cuba berundur itulah mangsa, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan jentera EMRS telah ditarik keluar kumpulan perusuh tanpa disedari oleh pemandu.

“Sekembalinya kedua-dua jentera berkenaan ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya barulah mereka sedari Muhammad Adib tiada bersama sebelum cuba menghubunginya melalui telefon bimbit dan dijawab oleh orang awam yang memaklumkan mereka dalam perjalanan membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Tambah Mohamad Hamdan, kejadian tersebut telah mengakibatkan kedua-dua jentera mengalami kerosakan termasuk pecah cermin hadapan, patah pembuka pintu serta kemek dipercayai akibat dilontar batu serta diketuk menggunakan objek keras.

“Anggota bomba yang terselamat dalam kejadian tersebut turut mengalami trauma namun telah dipanggil untuk dipulihkan semula memandangkan tugas harus diteruskan.

“Anggota JBPM sentiasa bersedia menjalankan tugas dan selepas ini kami mungkin akan membuat kordinasi operasi bersama pihak berkuasa terutamanya pihak polis,” ujar beliau.

Dalam pada itu, mangsa, Muhammad Adib, kini ditempatkan di unit rawatan rapi Pusat Perubatan Subang Jaya dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Muhammad Adib juga berada dibawah pengawasan berterusan lima orang doktor pakar dan bergantung pada mesin sokongan hayat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN