Rusuhan kuil: Najib kecewa, minta jangan ragut keharmonian - Utusan Malaysia

Rusuhan kuil: Najib kecewa, minta jangan ragut keharmonian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewa terhadap rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights sehingga menyebabkan seorang anggota bomba parah dipukul.

Najib menggesa rakyat bertenang dan jangan meragut keharmonian yang wujud selama ini.

“Saya sedih, sangat sedih ini berlaku di negara kita. Tiada perkataan yang dapat gambarkan betapa saya dan keluarga kecewa dengan keadaan ini.

“Saya doakan anggota bomba ini, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital segera sembuh dan pulih seperti sediakala,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Najib, anggota pasukan penyelamat perlu diberi penuh penghormatan dan kerjasama oleh semua pihak dan tidak patut dihalang daripada menjalankan tugas mereka.

Najib juga meminta keluarga Muhammad Adib, bersabar dan tabah melalui saat tersebut dan berdoa semoga Muhammad Adib segera pulih.

Muhammad Adib berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Beliau kini dimasukkan ke dalam Unit Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota berkenaan diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

Anggota yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN