SUBANG JAYA 27 Nov. – Keadaan anggota bomba yang cedera parah akibat diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariammam, USJ 25 dekat sini awal pagi tadi masih kritikal.
Lebih menyedihkan, mangsa, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang berasal dari Kedah bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir Disember ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan kini bergantung kepada sistem sokongan hayat.
Menurutnya, keadaan Muhammad Adib sangat kritikal dan doktor memaklumkan terdapat banyak kesan lebam di dada akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Selain itu tulang rusuknya juga patah sekali gus menyebabkan tercucuk pada paru-paru sehingga menyebabkan kesukaran bernafas dan paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Muhammad Adib akan diberi perhatian oleh lima doktor pakar yang akan memantau keadaannya sepenuh masa,” katanya selepas melawat Muhammad Adib di SJMC, di sini hari ini.
Ujar Zuraida, beliau kesal dengan apa yang berlaku kerana pasukan bomba hanya datang untuk menghulurkan bantuan selepas menerima laporan kebakaran namun diserang dan diperlakukan sedemikian.
“Saya harap polis teliti semua video yang tular dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang terlibat dalam kejadian ini.
“Saya juga meminta pihak kerajaan negeri memanggil semua pihak terlibat terutamanya pihak pemaju dan pihak kuil untuk duduk berbincang seperti orang dewasa bagi mencari penyelesaian isu ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE









