KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kredibiliti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang diberi amanah melindungi perpaduan dalam negara sepatutnya diserlahkan apabila tercetusnya sesuatu kekecohan.
Namun, insiden melibatkan rusuhan dan kekecohan berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor yang telah berlarutan sehingga dua hari jelas memperlihatkan kegagalan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu dalam mengawal keadaan.
Sehubungan itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak Perdana Menteri supaya segera memecat Waytha Moorthy yang disifatkan langsung tidak layak berada dalam Kabinet apatah lagi menjawat jawatan menteri perpaduan.
Menurut Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, Waytha Moorthy dilihat mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri dan langsung tidak mengambil peduli mengenai insiden kekecohan itu.
“MPM menyalahkan Waytha Moorthy yang terlalu sibuk melakukan pembohongan di luar negara sehingga gagal menjalankan tugas sebagai menteri perpaduan.
“Terserlah dengan begitu jelas siapa beliau ini dan kegagalannya menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya sehingga menyebabkan seorang anggota bomba dipukul dengan kejam oleh perusuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian di kuil tersebut awal pagi tadi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, cedera parah akibat diserang kumpulan perusuh di sekitar kawasan kuil tersebut. – UTUSAN ONLINE










