KUALA LUMPUR 27 Nov. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas dan mengeluarkan kertas putih dalam tempoh tiga bulan berhubung kes rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Maha Mariammam, USJ 25, dekat sini.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, hal itu kerana isu tersebut sudah menjadi terlalu serius sehingga menampakkan bibit-bibit perkauman berikutan banyak kenyataan gopoh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Melalui hasil siasatan dan laporan kertas putih, pihak yang bersalah mesti dikenakan tindakan sewajarnya. Keengganan pihak kuil untuk berpindah bukan satu keistimewaan mana-mana pihak untuk tidak patuh kepada ‘rule of law’.
“Begitu juga dengan tindak tanduk pihak pemaju serta kumpulan yang terlibat dengan insiden pukul dan bakar kenderaan awam,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar kawasan kuil tersebut.-UTUSAN ONLINE










