SUBANG JAYA – Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang cedera akibat dipukul sekumpulan perusuh dalam satu kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman awal pagi tadi kini berada dalam keadaan kritikal.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, mangsa Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, mengalami beberapa kecederaan parah di seluruh badan akibat daripada insiden berkenaan.
“Muhammad Adib masih belum sedarkan diri dan pemeriksaan pasukan perubatan menemui beberapa kesan lebam di bahagian dadanya. Beberapa tulang rusuknya turut patah lalu mencucuk paru-paru sehingga mengakibatkan kesukaran untuk bernafas.
“Muhammad Adib kini ditempat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada di dalam keadaan yang kritikal. Dia juga kini bergantung pada mesin sokongan hayat,” katanya pada satu sidang akhbar selepas melawat mangsa di Pusat Perubatan Subang Jaya di sini.
Menurut Zuraida, Muhammad Adib kini berada di bawah pemerhatian lima doktor pakar yang akan memantau sebarang perubahan pada tahap kesihatannya.
“Doktor yang merawat Muhammad Adib turut memaklumkan, tekanan darahnya berada di tahap yang rendah dan tidak berubah.
“Kejadian ini amat mendukacitakan tambahan pula Muhammad Adib telah merancang untuk melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya pada bulan Disember ini,” ujar beliau. – K! ONLINE









