SHAH ALAM 27 Nov. – Empat lagi lelaki ditahan berhubung insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah ditahan polis setakat ini ialah 21 orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dua daripada lelaki itu ditahan lewat petang semalam manakala dua lagi ditahan awal pagi tadi ketika berada di sekitar kawasan kuil berkenaan.
“Dua lelaki yang ditahan pagi tadi memiliki parang yang disimpan dalam kereta dan mereka gagal memberikan penjelasan yang betul ketika disiasat pihak polis.
“Kesemua individu tersebut akan direman bermula pagi ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pagi ini.
Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, beberapa rusuhan turut berlaku semalam dan awal pagi tadi melibatkan insiden bakar kenderaan serta serangan ke atas One City Mall oleh sekumpulan perusuh.
“Lima kenderaan telah dibakar semalam sekaligus menjadikan kenderaan yang dibakar setakat ini ialah 23 buah selain beberapa lagi dirosakkan.
“Sekumpulan perusuh turut memecahkan cermin bangunan One Citu Mall, merosakkan sebuah bas, sebuah kereta, dan sebuah motosikal, membakar sebuah van selain merosakkan beberapa peralatan di bilik pameran,” ujarnya.
– UTUSAN ONLINE










