Rusuhan kuil: 4 lagi ditahan, lima kenderaan dibakar, One City Mall dipecahkan perusuh - Utusan Malaysia

Rusuhan kuil: 4 lagi ditahan, lima kenderaan dibakar, One City Mall dipecahkan perusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis telah menahan empat lagi lelaki menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai 21 individu bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, penahanan mereka dilakukan pada malam dan awal pagi tadi bersama beberapa senjata jenis parang di dalam sebuah kereta di sekitar kuil berkenaan. 

Katanya, kesemua individu tersebut akan direman bermula pagi ini. 

“Berdasarkan beberapa rusuhan yang terjadi sejak malam tadi didapati seorang anggota bomba cedera diserang oleh perusuh ketika cuba memadamkan kebakaran kenderaan di kuil berkenaan. 

“Turut dibakar dalam insiden rusuhan baharu sejak malam tadi adalah lima buah kenderaan melibatkan empat buah kereta dan sebuah van,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, sebuah kompleks beli-belah One City dan bas yang terletak satu kilometer dari kuil berkenaan turut menjadi sasaran apabila dipecahkan dan dirosakkan oleh perusuh. 

Mazlan menambah, pihaknya akan memanggil pihak pemaju, One City Development Sdn. Bhd yang merupakan pemilik tanah kuil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. 

“Kita sekali lagi memberikan amaran kepada mana-mana individu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan atau berdepan tindakan polis,” jelasnya. 

Ketika ditanya pemberita sama ada kawasan sekitar kuil akan ditutup, Mazlan menegaskan tidak menolak kemungkinan tersebut namun perbincangan perlu dilakukan susulan merupakan laluan orang ramai di kawasan tersebut untuk keluar dan masuk di Subang Jaya. 

“(Untuk melakukan sekatan jalan), nanti kita (makluman),” katanya. 

Jelas beliau, polis kini menyiasat kes tersebut dalam pelbagai aspek termasuk elemen merusuh dan khianat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN