KUALA LUMPUR 27 Nov.- Semua pihak dinasihatkan agar bertenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak tepat berhubung insiden yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya yang berlaku awal pagi semalam.
Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menegaskan, penyebaran maklumat yang tidak tepat berkaitan kejadian tersebut boleh mewujudkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Saya telah dimaklumkan bahawa insiden ini tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman dan agama.
“Semua pihak perlu bertenang dan bersabar serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat terhadap apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, pertikaian yang berlaku di kuil tersebut perlu ditangani dengan baik dan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya.
“Dengan kebijaksanaan semua pihak yang terlibat saya yakin perkara ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan mengambil langkah terbaik bagi kepentingan semua pihak.
“Saya yakin bahawa pihak keselamatan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan serta keamanan sentiasa dipelihara,” katanya.
Dalam kejadian di kuil tersebut semalam, puluhan individu merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan sehingga menyebabkan 18 kenderaan dibakar.
Malah awal pagi tadi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera akibat diserang kumpulan perusuh di sekitar kawasan kuil tersebut.-UTUSAN ONLINE










