KLANG – Taktik licik sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok yang menjadikan sebuah rumah sebagai stor simpanan terbongkar apabila premis berkenaan di serbu Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang semalam.
Serbuan ke atas rumah yang di Taman Bayu Perdana, di sini itu bermula kira-kira pukul 6.30 petang.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu serta maklumat awam berkenaan aktiviti sindiket berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rumah tersebut telah dijadikan stor penyimpanan rokok seludup pelbagai jenis yang dibawa masuk dari negara jiran secara haram dan tidak dibayar cukai.
“Hasil serbuan itu, kita telah menemui pelbagai jenis rokok putih dan rokok kretek dianggarkan bernilai RM156,464 telah dirampas.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Rosman berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, rumah tersebut dipercayai telah dijadikan tempat simpanan rokok seludup sejak dua tahun lalu.
“Kita percaya suspek memperolehi bekalan daripada seorang individu yang membuat penghantaran dalam tempoh dua hingga tiga kali sebulan bergantung kepada permintaan suspek.
“Siasatan mendapati rokok yang dibawa masuk dari negara jiran ini adalah untuk pasaran sekitar Klang,” katanya. – K! ONLINE










