Rumah bagai neraka wanita - Utusan Malaysia

Rumah bagai neraka wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA 26 Nov. – Lebih separuh daripada kaum wanita yang dibunuh di seluruh dunia tahun lalu, mati di tangan pasangan atau anggota keluarga mereka, sekali gus menjadikan rumah sebagai ‘tempat paling bahaya bagi wanita.

Menurut statistik yang dikeluarkan sempena Hari Membanteras Jenayah terhadap Wanita Antarabangsa oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), kira-kira 50,000 atau 58 peratus daripada 87,000 kes bunuh wanita pada tahun lalu, dilakukan oleh pasangan atau ahli keluarga mereka sendiri.

Baki kira-kira 30,000 atau 34 peratus wanita pula dibunuh oleh pasangan mangsa.

“Jumlah ini bersamaan de­ngan enam wanita dibunuh pada setiap jam oleh orang yang mereka kenali.

“Majoriti mangsa pembunuhan di seluruh dunia atau kira-kira 80 peratus adalah lelaki, tetapi wanita berterusan membayar harga yang tinggi ekoran ketidakadilan jantina, diskriminasi dan stereotaip negatif,” kata Ketua UNODC, Yury Fedotov, semalam.

Tambah Fedotov, hakikat bahawa wanita terus terkesan dengan jenis keganasan lebih teruk berbanding lelaki adalah petunjuk terhadap ketidakseimbangan kuasa antara wanita serta lelaki dalam persekitaran domestik.

UNODC menganggarkan, ka­dar wanita global menjadi mang­sa pembunuhan adalah kira-kira 1.3 mangsa bagi setiap 100,000 populasi golongan tersebut.

Kajian itu turut mendapati, wanita di benua Afrika dan Amerika paling berisiko menjadi mangsa bunuh.

Di Afrika, kadar kematian adalah kira-kira 3.1 mangsa bagi setiap 100,000 populasi wanita manakala Amerika, 1.6 mang­sa, Oceania 1.3 diikuti Asia, 0.9 mangsa.

Eropah pula mencatatkan kadar kematian wanita paling rendah iaitu 0.7 mangsa bagi setiap 100,000 golongan itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN