KEBEBASAN bersuara memang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1). Namun kebebasan bukanlah mutlak kerana Perlembagaan juga membenarkan undang-undang digubal bagi menyekat kebebasan tersebut untuk tujuan keselamatan.
Maka, setiap tutur kata haruslah cermat apatah lagi jika melibatkan perkara-perkara sensitif di negara ini iaitu agama, kaum dan institusi raja. Sebab itu, Akta Hasutan digubal dan menjangkau kekebalan dalam persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Perihal kenyataan ‘lawak’ pemimpin kerajaan dan ahli politik sehingga menjadi bahan jenaka di media sosial akibat kekurangan pengalaman sebenarnya bukanlah isu besar bagi negara.
Namun jika salah cakap atau tulis itu berkaitan hal-hal membangkitkan keresahan masyarakat berbilang kaum dan agama, itu adalah serius. Bukan masanya untuk meraih populariti.
Ini terutama mereka yang sudah berada dalam pimpinan kerajaan, ingatlah kenyataan yang mungkin biasa dilakukan sebagai pembangkang suatu ketika dahulu sudah tidak boleh lagi diterima apabila bergelar pemimpin kerajaan.
Paling mustahak, pemimpin politik jangan mendahului siasatan pihak berkuasa seolah mereka pula yang lebih mengetahui. Tugas mereka untuk membantu pihak berkuasa meredakan ketegangan dan bukan sebaliknya.
Jenayah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal warna kulit apatah lagi agama. Jangan pula jadi seperti sesetengah pihak di Barat yang cenderung mengaitkan jenayah keganasan dengan agama tertentu.
Justeru peringatan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari susulan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, awal pagi semalam memang tepat iaitu hentikan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.
Memang kenyataan di media sosial ada peluang untuk dipinda tetapi ini bukan seperti situasi terlajak perahu yang boleh diundur. Harap sangat perkara ini jadi iktibar pada masa hadapan.
Serahkan sepenuhnya kepercayaan kepada polis seperti tegas Amirudin. Ini terutamanya yang sudah dalam pimpinan kerajaan seperti Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau.










