KUALA LUMPUR 27 Nov. – Teknik rawatan kanser termaju yang menggunakan terapi proton diperkenalkan dalam penganjuran Taiwan Expo yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Kuala Lumpur(KLCC), baru-baru ini.
Terapi diperkenalkan oleh jaringan hospital terbesar di dunia yang mempunyai tujuh cawangan di Taiwan iaitu Hospital Memorial Chang Gung, salah satu daripada dua hospital yang menyediakan rawatan itu di Asia.
Rawatan yang diperkenalkan itu merupakan kaedah perubatan kanser termaju yang membolehkan lebih kurang 1,500 pesakit menerima rawatan setiap tahun.
Taiwan Expo 2018 yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober lalu bertujuan memperkenalkan teknologi terkini dalam penjagaan kesihatan dengan memaparkan penemuan-penemuan perubatan terbaharu.
Sepanjang expo berlangsung, sebanyak 12 pavilion pameran yang menempatkan lebih 250 gerai pameran daripada pelbagai sektor perubatan Taiwan terlibat.
Antaranya adalah Hospital Memorial Chang Bing Show Chwan, Klinik Obstetrik dan Ginekologi Chai-Chin, Perbadanan Teknologi Perubatan Treatyou dan Kumpulan Perubatan Nobel. -UTUSAN ONLINE










