Ramli Sarip memang power - Utusan Malaysia

Ramli Sarip memang power

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak kira muda atau tua, sebut sahaja nama legenda rock, Datuk Ramli Sarip pasti fikiran terbayang kelunakan suara dan bakat seni yang tiada terganti. Dia satu dalam sejuta.

Malam Sabtu lalu, menyaksikan hampir 1,800 penonton menyempurnakan kerinduan untuk mendengar suara emas Ramli atau lebih popular digelar Papa Rock. Dua jam beraksi, tidak sekali dia kelihatan lelah biarpun usia hampir menginjak ke angka 67 tahun.

Beraksi di Panggung Anniversari, Ramli membuka tirai konsert yang dibawakan secara eksklusif oleh Allianz Malaysia itu dengan dendangan lagu Kamelia bersama-sama kumpulan Ruhh ternyata mengundang sorakan peminat.

Meneruskan persembahan dengan lagu Sejuta Wajah, Papa Rock yang terkenal dengan suara serak-serak basahnya terus menghiburkan penonton dengan seleksi lagu antaranya Batu dan Jikalau Berkasih.

Satu yang harus diperhati penyanyi baharu adalah bagaimana Ramli berjaya membawa seluruh jiwa yang hadir menyelusuri jalan cerita setiap lagu dengan kelunakan suara dan vokal yang cukup hebat selain pengalaman lebih 54 tahun memahat nama sebagai seorang legenda rock industri muzik tempatan.

Papa Rock kelahiran Singapura itu meneruskan konsert dengan lagu Musibah dan Teratai yang turut diiringi oleh gema suara penonton yang rata-rata membesar bersama-sama lagu-lagu dendangannya.

Tidak ketinggalan, Ramli turut menyanyikan lagu Keliru dan sekali lagi, Kamelia berkumandang secara solo sebelum menutup tirai konsert itu dengan lagu, Tahun 2000.

Tidak dinafikan, konsert tersebut memberi kepuasan kepada penonton yang hadir, malah Ramli sempat berseloroh memberitahu, kali terakhir dia mengadakan konsert di Panggung Anniversari adalah sekitar tahun 1980-an.

Dia turut berterima kasih kepada pihak penganjur atas inisiatif mengembalikan memorinya membuat persembahan bersama-sama kumpulan Sweet Charity suatu ketika dahulu.

“Malam ini bukan sahaja mengembalikan memori saya ketika beraksi di sini sekitar tahun 1980-an tetapi juga diharap dapat memberi kenangan dan memori kepada anda semua yang hadir.

“Ini adalah satu sumbangan daripada Allianz Malaysia kepada masyarakat yang memberi peluang untuk kita menikmati muzik malam ini, malah dari segi muzik dan audio malam ini juga cukup hebat,” katanya.

Usai persembahan, soalan diaju oleh rakan media kepada Ramli, apakah rahsia legenda rock itu masih kekal hebat walaupun pada usia emas dan kekal relevan merentasi arus modenisasi industri muzik.

“Saya anggap penyanyi macam jual makanan. Kalau kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam memasak makanan kita, orang akan datang sebab kesedapannya. Mungkin itu rahsia saya.

“Tidak kira konsert secara percuma atau berbayar, kita perlu memberi yang terbaik. Kita sebagai penghibur perlu memberi kenangan yang indah kepada mereka untuk dibawa pulang.

“Bagi saya tidak ada ruginya jika anda senantiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada peminat.

“Mereka sudah memberi yang terbaik untuk menyokong kita, jadi tugas kita untuk terus menghiburkan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN