KOTA BHARU – Hampir 40 peratus daripada kira-kira 36,000 pesalah dadah di penjara seluruh negara mengalami masalah mental di mana majoritinya disebabkan kesan pengambilan dadah sintetik.
Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan berkata, jumlah tinggi itu berikutan populasi dalam penjara sendiri yang dihuni 60 peratus daripada keseluruhan 60,000 banduan akibat kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk menempatkan pakar psikiatri berkhidmat dalam penjara dan kini sedang membuat permohonan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kesihatan untuk tujuan itu.
“Pada masa ini, banduan yang disahkan mengalami masalah mental akan menjalani rawatan sama ada di hospital ataupun pegawai psikiatri hospital yang akan turun ke penjara sekali atau dua kali sebulan.
“Banduan ini mungkin tidak bertindak agresif tetapi daya pemikiran mereka semakin berkurangan atau berubah daripada individu yang normal, kebanyakan mereka mengalami halusinasi dan psikosis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Fiesta Infokraf Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Timur 2018 di Aeon Mall, di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










