Rakyat Britain kini mahu kekal dalam EU - Utusan Malaysia

Rakyat Britain kini mahu kekal dalam EU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 6 Nov. – Rakyat Bri­tain akan memilih untuk kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) dengan margin 54-46 peratus sekiranya referendum kedua negara itu diadakan kelak, menurut tinjauan yang dikatakan paling besar seumpama­nya semalam.

Tinjauan itu yang dikendalikan oleh agensi Survation antara 20 Oktober dan 2 November, disertai seramai 20,000 orang.

Tinjauan terbabit menunjukkan sokongan untuk keluar EU di beberapa bandar telah menurun sebanyak 10 peratus.

Di Southampton, jumlah sokongan menurun daripada 53.8 peratus kepada 41.8 peratus manakala di Birmingham, sokongan pengundi turut merosot daripada 50.4 peratus kepada 41.8 peratus.

Bagaimanapun, sokongan rakyat Britain untuk kekal dalam blok tersebut bakal ‘dirampas’ oleh mereka yang berkempen untuk meninggalkan EU pada 29 Mac tahun depan, bergantung kepada rundingan antara London dan Brussels.

Keadaan masih tidak jelas apakah yang berlaku sekiranya kesepakatan gagal dicapai de­ngan sesetengah pihak mencadangkan agar referendum ke­dua diadakan.

Perdana Menteri Britain, Theresa May bagaimanapun menolak idea berkenaan sambil memberi alasan adalah tidak wajar sekiranya Britain menolak keputusan referendum pada Jun 2016.

Ketika itu, rakyat Britain memilih untuk meninggalkan EU dengan margin 52-48 peratus kerana mereka mahu negara berkenaan mengawal semula sempadan United Kingdom (UK) susulan krisis kebanjiran pendatang yang melanda Eropah.

Namun, perbincangan me­ngenai pengunduran Britain menemui jalan buntu berikutan pertikaian sempadan dengan Ireland. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN