KOTA BHARU 26 Nov. – Rakyat berhak untuk berhimpun secara aman bagi menzahirkan ekspresi mereka dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Perlembagaan negara membenarkan rakyat untuk bebas bersuara dan menunjukkan perasaan mereka yang tidak senang hati atau membahayakan keadaan pada masa kini.
Beliau bagaimanapun menegaskan perhimpunan tersebut perlu diadakan secara aman dan tidak boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Kita menggalakkan kebebasan bersuara dan menunjukkan perasaan atau perkara yang mereka tidak senang hati dan membahayakan keadaan dalam negara.
“Jadi, mereka berhak untuk berhimpun tetapi pastikan perhimpunan itu aman dan jangan melibatkan unsur yang boleh menimbulkan kegawatan dan membahayakan keamanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Integriti peringkat negeri di sini, hari ini.
Dalam majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah itu, Musa membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘Membiasakan yang betul dan membetulkan yang salah’.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat penyokong Pas dan UMNO untuk berhimpun pada 8 Disember ini berhubung isu ICERD.
Pada masa sama, Musa mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik daripada kerajaan supaya tidak menjadikan Barat sebagai contoh untuk dilaksanakan di negara ini.
“Kita iktiraf kebebasan, dalam Perlembagaan kita pun ada tetapi kebebasan kita tidak mutlak, ada batas dan ada undang-undang dia.
“Anda bebas bersuara tetapi tidak boleh fitnah orang, tidak boleh menghasut orang sebab kita tidak mahu bergaduh. Tetapi mereka mahu kebebasan mutlak, tidak ada kebebasan mutlak. Negara barat sendiri ada masalah,” katanya.










