KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kerajaan memutuskan supaya potongan gaji peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibuat sebaik sahaja gaji mereka mencecah RM2,000 sebulan, berbanding RM1,000 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, potongan gaji itu adalah sebanyak dua peratus atau RM40 daripada gaji dan meningkat sehingga 15 peratus mengikut perubahan gaji.
Katanya, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat jemaah menteri pada 23 November lalu.
“Mengenai janji bayaran balik sehingga gaji peminjam mencapai gaji RM4,000, kerajaan akan mempertimbangkan semula pelaksanaannya apabila kedudukan kewangan kerajaan mengizinkan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan daripada Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN.
Pada masa sama Nie Ching berkata, pelajar daripada golongan pertengahan (M40) yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama akan diberikan pengecualian bayaran PTPTN.-UTUSAN ONLINE










