Provokasi Ganabatirau boleh cetuskan ketegangan kaum - Utusan Malaysia

Provokasi Ganabatirau boleh cetuskan ketegangan kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Kenya­taan provokasi Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau yang menuduh sekumpulan orang Islam menyerang Kuil Sri Mariamman sehingga mencetuskan rusuhan, awal pagi ini boleh membawa kepada ketegangan antara kaum.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Ganabatirau yang jelas cuba mengapi-apikan sentimen perkauman berhubung kejadian rusuhan berkenaan.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mengutuk kenya­taan dan tuduhan Ganabatirau itu amat mendukacitakan kerana boleh menjurus kepada pertelingkahan di antara kaum.

“Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ganabatirau yang menyalahkan orang Islam sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian berhubung rusuhan yang berlaku di kuil tersebut.

“Bagaimana seorang pemim­pin boleh mencetuskan provokasi sedemikian, apa akan jadi kalau orang Melayu bertindak dengan tidak wajar dan mengambil kata-kata itu di luar batasan, tentu boleh mencetuskan ketegangan kaum walhal kejadian tersebut tiada kaitan dengan kaum dan agama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Tambah Asraf Wajdi, Pemuda UMNO turut akan membuat laporan polis berhubung kenya­taan Ganabatirau tersebut selain menggesa pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan bahawa pihak pemaju di tapak kuil tersebut yang menggunakan kumpulan samseng sehingga tercetusnya rusuhan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan beberapa ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) terutama mewakili masyarakat India yang menyalahkan pihak polis kerana gagal mengawal rusuhan di kuil berkenaan.

“Mereka yang sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk mententeramkan keadaan dan tidak mengapi-apikan lagi kejadian yang berlaku. Perkara ini adalah isu komersial dan seharusnya kerajaan Selangor yang bertanggungjawab kerana telah membiarkannya berlaku dan berlarutan,” katanya.

Sementara itu Pas Selangor turut menyelar tindakan biadab Ganabatirau yang cuba menye­marakan sentimen perkauman melampau.

Setiausaha Pas Selangor, Abdul Halim Omar berkata, perbuatan Ganabatirau bukan sahaja biadab, liar dan jahat tetapi berbahaya kepada ketenteraman awam.

“Pas Selangor menggesa siasatan terperinci dijalankan de­ngan memanggil mereka yang berkepentingan dalam perebutan tapak kuil itu termasuk Ganabatirau bagi membantu siasatan berhubung tuduhan liar, jahat dan bahaya yang dimuat naik dalam facebook beliau.

“Pas sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang melibatkan pencerobohan rumah ibadat orang bukan Islam dan serangan ke atas penganut agama lain atas semangat perkauman yang sempit,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN