KUALA LUMPUR – Kementerian pengangkutan sedia mempertimbangkan cadangan memberikan ganjaran kepada pemandu berhemah.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat cadangan daripada beberapa pihak yang mencadangkan perkara tersebut dan kementeriannya bersedia bekerjasama melaksanakan mekanisme berkenaan untuk meningkatkan motivasi pemandu agar mengikuti peraturan jalan raya.
Katanya, sebagai contoh Petronas sedang membangunkan aplikasi untuk memberi ganjaran kepada pemandu yang mempunyai skor yang baik.
“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan. Dalam tinjauan saya, Petronas maklumkan, mereka ada program memberikan ganjaran kepada pemanduan berhemat di jalan raya. Sebahagian daripada konsep itu akan diperkenalkan tahun hadapan.
“Mereka sedang bangunkan aplikasi untuk menilai gaya pemanduan ataupun pemandu. Bila kita menggunakan aplikasi tersebut, kita akan dapat penilaian sama ada kita ini pemandu yang baik atau tidak. Sebagai contoh, jika kita capai tahap tertentu kita akan mendapat rebat untuk petrol ataupun tol,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS’18) di sini hari ini. – Bernama










