PRK DUN Rantau: Pakatan Harapan akan putuskan calon - Utusan Malaysia

PRK DUN Rantau: Pakatan Harapan akan putuskan calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan akan memutuskan calon dan parti mana akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Pakatan Harapan akan membuat keputusan muktamad itu selepas pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung status PRK tersebut.

Kata beliau, mengikut tradisi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Rantau adalah milik PKR.

“Kita tunggu pengumuman daripada SPR dahulu. Seperti pilihan raya umum lalu, kawasan itu PKR yang bertanding.

“Jadi, Pakatan Harapan akan buat keputusan muktamad berhubung perkara ini, mungkin logo Pakatan Harapan akan digunakan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Konvensyen Amanah Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad merasmikan konvensyen berkenaan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang membabitkan pemimpin, perwakilan dan ahli parti.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar yang mengarahkan PRK diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada 28 April lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas calon PKR bagi kerusi DUN itu, Dr. S. Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi mencabar keputusan di kerusi tersebut. 

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pula berkata, PRK DUN Rantau hanya akan diadakan jika tiada rayuan dikemukakan terhadap keputusan mahkamah itu dalam tempoh 14 hari bermula 16 November lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO akan dicalonkan semula pada PRK DUN Rantau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN