SEPANG 17 Nov. – Yang Dipertua Negara, Senator Tan Sri S. A. Vigneswaran digesa memohon maaf secara terbuka ekoran tindakannya memasuki kawasan larangan di pintu pelepasan selepas dihalang kerana gagal mematuhi etika berpakaian ketika memasuki bilik orang kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Rabu lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu Vigneswaran yang juga Presiden MIC tidak dibenarkan memasuki ruangan tersebut oleh bahagian keselamatan penerbangan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kerana hanya berselipar.
“Tindakannya berselipar masih boleh dianggap kesalahan kecil tetapi tindakan menceroboh masuk hingga ke kawasan pelepasan selepas tidak dibenarkan masuk oleh anggota keselamatan dan pegawai bertugas merupakan satu kesalahan besar.
“Malah, beliau juga tidak melalui pemeriksaan keselamatan, kita pun tidak tahu apa yang beliau bawa ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Anthony, tindakan pihaknya mendedahkan perkara tersebut bukan dibuat atas faktor politik atau sebagainya tetapi kerana bimbang mengenai isu keselamatan di lapangan terbang
Berikutan itu, Anthony berkata, pihaknya akan menghantar laporan lanjut berhubung tindakan tersebut ke Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menentukan tindakan yang sepatutnya dikenakan kepada Vigneswaran.-UTUSAN ONLINE










