KUCHING – Selepas 27 jam melakukan rompakan bersenjata di sebuah pasar mini di Sungai Maong di sini semalam, dua lelaki diberkas di sebuah kampung di sekitar Tabuan Jaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, dalam insiden pada pukul 10 pagi itu, seorang juruwang wanita cemas selepas didatangi dua lelaki yang bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging yang ketika itu mangsa bekerja bersendirian di pasar mini berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah mendatangkan trauma fizikal dan emosi terhadap mangsa, serta mencuri wang tunai RM1,200, telefon bimbit dan beberapa paket rokok.
“Anggota D9, Jabatan Siasatan Jenayah terus jalankan siasatan, mengumpulkan maklumat mengenai gambaran kedua-dua suspek dan mendapatkan petunjuk daripada pemberi maklumat mereka.
“Kira-kira 27 jam kemudian, anggota D9 berjaya mengenal pasti, menjejaki dan menahan kedua-dua suspek berusia 28 dan 34 tahun di sebuah kampung di sekitar Tabuan Jaya,” katanya.
Pisau pemotong daging dan telefon bimbit mangsa serta eksibit lain turut ditemui, katanya.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Bernama










