KOTA KINABALU – Polis kini giat memburu beberapa lagi anggota dipercayai kumpulan pengganas di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, tindakan tersebut susulan kepada tangkapan tujuh lelaki warganegara Filipina dan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Abu Sayaff Group (ASG) menerusi lima serbuan di Putrajaya dan Sabah antara 30 Oktober hingga Isnin lalu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima dari semasa ke semasa pihak polis yakin terdapat saki-baki anggota kumpulan pengganas ini di sekitar Sabah.
“Bagaimanapun, butiran lanjut termasuk jumlah anggota kumpulan pengganas yang sedang diburu tidak boleh didedahkan setakat ini,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Kepolisan Komuniti Bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di Kampung Tanjung Aru Baru di sini.
Dalam pada itu, Omar turut memberi jaminan kepada masyarakat tempatan supaya tidak bimbang dengan keselamatan di negeri ini kerana pihak polis sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan, seramai tujuh warga Filipina dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas ditahan menerusi lima serbuan di Putrajaya dan sekitar Sabah antara 30 Oktober hingga Isnin lalu.
Antara yang ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, PDRM itu ialah seorang buruh warga Filipina berusia 35 tahun yang dipercayai merekrut kanak-kanak untuk menyertai ASG. – K! ONLINE










