Piya hampir pasti bersama Perlis - Utusan Malaysia

Piya hampir pasti bersama Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 17 Nov. – Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berbesar hati apabila Mohd. Badhri Radzi atau Piya menyatakan kesediaannya bagi menyarung jersi skuad Singa Utara musim depan.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie akan mengadakan pertemuan semula dengan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan dengan lebih serius mengenai hasrat PFA itu.

“Saya ada baca berita mengenai kesediaan Piya menyertai Perlis semalam dan kita cukup gembira. Kita akan merangka satu pertemuan dengan Piya dalam tempoh terdekat ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Piya ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia bersedia untuk menerima lamaran Singa Utara yang mahu mendapatkan khidmatnya itu.

Menurut bekas ketua pasukan Kelantan itu, sekiranya PFA serius, dia bersedia membuka pintu rundingan dengan pasukan berkenaan bagi membolehkannya membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Malaysia.

Dalam masa sama, Piya juga menzahirkan rasa terkejut apabila menerima perkhabaran Perlis berminat untuk menawarkan kontrak selain menyifatkan perkembangan itu sebagai satu penghargaaan buat dirinya.

Sementara itu, Ahmad Amizal berkata, dia berharap dalam pertemuan nanti semuanya akan berjalan lancar dan hasrat untuk melihat Piya beraksi bersama Perlis bakal menjadi kenyataan.

Piya yang berasal dari Kampung Atas Paloh, Kota Bharu, Kelantan merupakan salah seorang tulang belakang Kelantan ketika merangkul kejuaraan trebel musim 2012 lalu.

Bagaimanapun musim ini, menjadi ‘titik hitam’ buat Piya apabila Kelantan membuat kejutan dengan mengugurkan pemain berusia 36 tahun tersebut pada pertengahan musim sekali gus menenggelamkan nama jeneral padang The Red Warriors (TRW) itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN