Pilihan warna lembut, floral - Utusan Malaysia

Pilihan warna lembut, floral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEINDAHAN bunga-bunga musim sejuk luar negara seperti peoni, lavender dan hyrangea memberikan inspirasi kepada Siti Amira Nadia Ahmad Tajudin, 30, menghiasi koleksi tudung keluarannya, Edelyn Noah.

Cukup menggemari tema floral, ibu kepada dua orang anak ini, Edelyn Tasnim Radin Adi Aizudin, dua setengah tahun dan Radin Noah, setahun setengah menamakan koleksi tudungnya itu sempena nama anak-anaknya.

Siti Amira Nadia berkata, 80 peratus koleksi tudungnya itu menampilkan warna-warna lembut kerana dia sendiri menggemari warna itu.

Selain kerana warna-warna sebegini mudah dipadankan dengan sebarang pakaian yang digayakan.

Walaupun baru berada di pasaran sejak awal tahun 2018, dia berjaya mengeluarkan dua koleksi.

Terdapat enam rekaan dalam koleksi pertamanya, sementara koleksi kedua mengandungi 12 rekaan.

Selain selendang, eksekutif syarikat telekomunikasi ini turut mengeluarkan tudung empat segi yang dihias corak-corak menarik dan warna lembut menggunakan fabrik sutera satin.

“Saya bercadang membawa koleksi tudung ini sehingga ke luar negara kerana hasil pengalaman ketika tinggal di Boston, Amerika Syarikat selama beberapa tahun kerana mengikut suami yang bertugas, saya dapati tudung-tudung di sana polos tanpa corak.

“Mungkin tudung-tudung bercorak seperti Edelyn Noah ini akan mudah mendapat perhatian wanita bertudung di luar negara.

“Bagi mempelbagaikan rekaan dan memperkenal bunga kebangsaan kita, iaitu bunga raya, saya merancang mengeluarkan corak bunga raya dan geometri pada tudung koleksi ini pada tahun depan,” kata Siti Amira Nadia semasa ditemui di reruai Edelyn Noah di Loka, Nu Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut wanita yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Multimedia Malaysia, Cyberjaya, dia turut membuka reruai di Subang Parade, Subang Jaya dan menerima sambutan yang cukup memberangsangkan daripada pelanggan bukan Melayu yang mahu menghadiahkan tudung koleksi itu kepada kawan-kawan di luar negara.

Disediakan dalam kotak cantik bermotif bunga-bungaan, setiap helaian tudung ini dijual pada harga RM99.

Kepada yang ingin melihat lebih banyak corak, boleh layari Instagram @ edelynnoah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN