SHAH ALAM 17 Nov.- Kemelut melanda antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli ternyata jelas apabila salah seorang perwakilan PKR Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini meminta supaya kedua-dua kem itu berbaik semula demi meneruskan agenda parti itu.
Wakil Perlis, Tengku Nazeri Tengku Adlin tanpa berselindung memohon supaya perbalahan kedua-dua kem itu dihentikan akibat pemilihan parti tersebut.
“Pemilihan PKR sebelum ini menyebabkan kedua-dua kem berkelahi dan bergaduh untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat. Menang kita dah menang, Putrajaya dah tawan, Anwar dah bawa keluar dan duduk dengan Wan Azizah.
“Sudah tiba masa kita isi kemenangan ini. Saya meminta kem Rafizi, kem Azmin hari ini hentikanlah, masa (pemilihan) dah habis,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden PKR di Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini hari ini.
Sejurus berucap, kesemua perwakilan bangun dan bersorak termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Wan Azizah bangun menyatakan sokongan.
Tidak lama kemudian itu, Mohamed Azmin dan Rafizi yang bangun menyatakan sokongan berpelukan dan bersalaman sebagai tindakbalas terhadap pembahasan tersebut.
Dalam pada itu, Tengku Nazeri berharap Anwar sebagai bakal Presiden melihat kembali proses pemilihan PKR yang didapati tidak tersusun dan berjalan lancar seperti diharapkan ahli.
“Kita tidak mahu pemilihan begini dan pembaharuan perlu dilakukan. Jumlah ahli mengundi tidak sampai 200,000, berapa hari kira tidak habis lagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










